21.12.09

JAMBORI JABATAN AMAL KEBANGSAAN KALI KE 17 TELAH DISEMPURNAKAN

Assalamualaikum wbt;

Sebagai permulaan, Unit Amal kini dikenali sebagai Jabatan Amal bersesuaian dengan pertumbuhan kepada pasukan yang kini melebarkan jaringan dan pemerkasaan.
Jambori Jabatan Amal Kebangsaan kali ke-17 yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 30 Okt hingga 1 Nov 2009 bertempat di Batu 23, Sungai Nobong, Sungai Besar, Selangor telah selamat disempurnakan dengan jayanya. Pada kali ini Negeri Selangor adalah selaku tuan rumah. Jambori pada kali ini turut disertai oleh peserta-peserta dari 11 negeri. Negeri-negeri yang tidak menghantar wakil-wakil peserta adalah Sarawak, Sabah & Wilayah Persekutuan. Bagaimana pun Sabah hanya menghantar seorang wakil sahaja sebagai pemerhati.

Sebagaimana yang berlaku dengan PRK DUN N11 Bagan Pinang, N9, PAS Cawangan Puchong Utama menjadi tonggak kepada kekuatan PAS Kawasan Puchong dengan penyertaan seramai 7 ahli dan tiba dilokasi lebih awal dan membawa pelbagai keperluan peralatan seperti khemah, makanan tambahan dan air minuman. Pada awal pagi 31 Okt barulah beberapa ahli Unit Amal dari Cawangan yang lain tiba seperti berikut :

a. Apartmen Puchong Perdana - 2 Ahli tiba pada jam 3.30 am (seorang ahli kembali semula ke Puchong kerana berniaga pasar malam)

b. Aman Berkat - 3 ahli

c. Taman Puncak Jalil - 2 ahli

d. Jumlah ahli Jabatan Amal dari Kawasan Puchong - 12 ahli

Disamping itu juga, Komander Jabatan Amal Kawasan Puchong telah diamanahkan oleh pimpinan Jabatan amal Negeri Selangor sebagai Ketua Kontigen Negeri Selangor. Maka bertambah beratlah lagi tanggungjawab yang perlu dipilkul oleh sdr Nazree untuk menjaga ahli-ahli Jabatan Negeri Selangor yang datang dari semua kawasan dan daerah dalam Negeri Selangor yang majoritinya sukar dikenali.
Sehingga awal pagi 31 Okt jam 2.30 am, kehadiran peserta dari Negeri Selangor yang didaftarkan pendaftaran adalah seramai 190 ahli. Tetapi apabila peserta dihimpunkan untuk aktiviti dan gerakerja amal, ramai ahli yang tidak dapat dikesan. Ada yang pergi bersarapan, ada yang mandi di masjid yang berhampiran. Ini kerana kesukaran mendapatkan air kerana kemudahan untuk mandi dan berwuduk amat terbatas dan tidak dapat menampung jumlah kehadiran peserta-peserta yang besar jumlahnya. Bayangkanlah betapa beratnya tugas yang perlu dilaksanakan oleh Komander Jabatan Amal Kawasan Puchong untuk mencari ahli-ahli dari Negeri Selangor.

Negeri Selangor adalah peserta-peserta yang paling ramai menghantar ahli-ahlinya menghadiri Jambori pada kali ini bersesuaian dengan keduduknnya selaku tuan rumah. Maka sdr Nazree ditugaskan untuk membentuk tiga pasukan bagi setiap acara yang dipertandingkan seperti pidato, pentomen, nasyid, acara berhalangan, masakan survival dan pertandingan kawad kaki.Untuk membentuk pasukan kawad adalah sesuatu yang cukup amat mencabar. Semasa pendaftaran, peserta-peserta telah ditetapkan. Namun apabila pertandingan kawad akan dimulakan, ramai peserta-peserta menghilangkan diri dan "ghaib" entah ke mana tidak dapat dikesan.

Maka peserta-peserta dari Kawasan Puchong yang hanya berjumlah seramai 4 ahli terpaksa ditampung dari penyertaan dari peserta-peserta dari kawasan lain bagi mencukupkan seramai 13 peserta untuk mengwujudkan bilangan kepada 12 orang. Mereka-mereka itu pula tidak pernah mendapat latihan, jauh sekali dari mengetahui akan arahan-arahan dan pergerakan dalam kawad. Tambahan pula mereka-mereka yang terlibat itu pula tidak memiliki pakaian yang sesuai untuk pertandingan kawad seperti pakaian kepala (beret), seluar panjang hitam atau berwarna gelap dan kasut kulit hitam.

Dalam keadaan itu, selaku jurulatih, saya terpaksa memberikan latihan dan penerangan kepada peserta-peserta untuk pertandingan kawad itu secara "crash training programme" melalui teknik "drill and grill" dalam tempoh yang paling singkat iaitu selama 30-40 minit sahaja. Ini adalah bertujuan untuk menyediakan satu pasukan kawad yang mewakili Negeri Selangor bagi memenuhi kehadiran penyertaan sahaja (just for the sake of participation) .

Beberapa minit sebelum pasukan kawad Negeri Selangor dipanggil untuk masuk ke medan kawad, peserta-peserta perlu dilengkapkan dengan pakaian kawad yang bersesuaian. Terima kasih atas initiatif dari Ketua Pemuda PAS dan Setiausaha Kawasan Puchong yang berjaya mengumpulkan beberapa unit beret (pakaian kepala) untuk dibekalkan kepada perserta-peserta yang mengambil bahagian. Kemudian mereka juga dibekalkan dengan sarung tangan putih (white gloves). Namun pakaian yang lain, baju, seluar dan kasut hanyalah dengan apa sahaja yang dipakai oleh setiap peserta (as is basis) disebabkan tiadanya persediaan awal yang dilakukan. Malahan CaptR hanya memakai seluar berwarna cerah kekuningan, manakala anaknya, Khurazmi memakai seluar berwarna hijau. Ada pula peserta-peserta yang memakai kasut sukan pelbagai warna atau berbelang-belang dan kotor dipenuhi tanah, tidak berkesempatan untuk membersihkannya.

Ini sesuatu yang tidak sesuai dan amat mengecewakan saya sendiri (not presentable) selaku jurulatih dan komander pasukan. Dari awal lagi saya sedikit pun tidak menaruh apa-apa harapan yang diperolehi berdasarkan kepada penampilan dan gaya persembahan yang bakal dipamirkan oleh peserta-peserta. Malahan Ketua Kontigen Negeri Selangor, sdr Nazree pun, awal-awal lagi telah beredar jauh dan enggan menyaksikan persembahan yang bakal dipamirkan oleh pasukan kawad dari Negeri Selangor ini.

Apabila pasukan masuk ke medan kawad, Alhamdulillah, kesemua peserta telah memberikan komitmen mereka dengan memberikan persembahan yang mantap, bertenaga dan boleh dibanggakan dengan pergerakan yang cergas dan tepat mengikut masa yang tepat dan sama (perfect timing) sebagaimana arahan yang diberikan. Seolah-olah berlaku satu keajaiban (it is indeed a miracle !!!). Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya melaksanakan pergerakan dengan bergaya. Sesungguhnya ia mengejutkan saya sendiri yang sejak dari awal lagi tidak yakin akan kebolehan mereka.

Selain dari itu, kehadiran ahli-ahli dari Jabatan Amal Negeri Selangor yang ramai menyaksikan persembahan kawad ini dan juga ahli-ahli dari lain-lain negeri telah memberikan sorakan dan tepukan yang gemuruh kepada pasukan Negeri Selangor semasa beraksi di medan kawad telah banyak membantu dalam memberikan semangat kepada peserta-peserta yang terlibat. Ini juga mungkin mempengaruhi pengadil-pengadil dalam memberikan markah yang tinggi kepada pasukan ini.
Apabila kesemua pasukan dari negeri-negeri yang terbabit selesai melaksanakan persembahan mereka, saya berkeyakinan bahawa pasukan kawad Negeri Selangor akan mendapat tempat sebagai naib johan. Ternyata telahan ini tepat dengan pasukan dari Kelantan berjaya menjadi johan dalam pertandingan kawad ini.

Kejayaan pasukan dari Kelantan menjadi johan adalah tidak boleh dinafi atau dipertikaikan keputusannya. Ini berdasarkan kepada penampilan mereka dengan pakaian yang lengkap dan berketrampilan dengan beret mereka dihiasi dengan jambul, pakaian seragam Jabatan Amal yang kemas dan memakai drill boot yang bergilap. Ternyata mereka melakukan persediaan yang rapi. Manakala persembahan mereka juga amat mantap walaupun suara komander tidak lantang dan melakukan beberapa kesilapan arahan (word of command) yang tidak dapat dikesan oleh pengadil-pengadil pertandingan.


Berbanding dengan pasukan Negeri Selangor yang hanya memakai baju-T yang dibekalkan oleh penganjur Jambori dan pelbagai warna pakaian dan kasut yang berbeza antara satu dengan lain-lain peserta. Ini pastinya mengurangkan markah yang diperolehi oleh pasukan Selangor. Manakala pasukan-pasukan dari negeri lain pula, komander pasukan terlalu banyak melakukan kesilapan memberi arahan (words of command) dan tidak selaras dengan pergerakan peserta-peserta dalam pasukan. Selain dari itu arahan dari komander bukan sahaja tidak lantang tetapi arahan tidak begitu tajam dan jelas (sharpness, loud and clear).

Cumanya yang perlu saya pertikaikan ialah cara kawad yang dilaksanakan oleh Jabatan Amal ini yang dirasakan tidak menepati peraturan arahan dan pergerakan kawad mengikut yang piawaian negara-negara Commonwealth dan NATO.

Jabatan Amal didapati telah melakukan perubahan yang amat ketara dalam pergerakan dan arahan kawad. Contohnya dalam pergerakan melangkah didahului dengan kaki kanan sedangkan mengikut piawaian langkah didalui dengan kaki kiri. Manakala bagi meluruskan barisan setengah jarak (half distance), mengikut piawaian tangan kanan diletak dalam keadaan seperti bercekak pinggang (tangan kanan sahaja). Kehadiran ahli-ahli dari Jabatan Amal Negeri Selangor yang ramai menyaksikan persembahan kawad ini dan juga ahli-ahli dari lain-lain negeri telah memberikan sorakan dan tepukan yang gemuruh sebagai sokongan moral kepada pasukan Negeri Selangor semasa beraksi di medan kawad. Ini banyak membantu menaikkan semangat pasukan melakukan pergerakan yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada anggota Jabatan Amal Negeri Selangor dan dari negeri-negeri lain.

Walau bagaimana pun saya agak tergamam juga apabila pengumuman dibuat bahawa pasukan kawad Negeri Selangor diisytiharkan sebagai Naib Johan dan diminta naik ke pentas untuk menerima hadiah. Ini kerana pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini yang mana saya turut hadir bersama Komander Jabatan Amal Kawasa Puchong, hanya satu hadiah untuk pasukaan yang menjadi Johan diperuntukan. tidak pula disebutkan hadiah untuk Naib Johan turut disediakan. Demikian juga bagi peserta-peserta dari kawasan lain yang tidak menyangka akan dinobatkan sebagai Naib Johan telah balik awal dan tidak menerima hadiah yang disampikan oleh Tuan Guru Presiden, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang. Maka ia menjadi satu tugas lagi bagi Komander merangkap Ketua Kontigen Jabatan Amal Selangor untuk mengesan peserta-peserta berkenaan.

Sekian dan wassalam,

para_jump101









Related Posts with Thumbnails

Lagu Jabatan Amal

Template Design by SkinCorner